Thursday, June 6, 2013

Falsafah di sebalik Israk Mikraj

TERDAPAT tiga makhluk Allah yang terlibat dalam peristiwa Israk Mikraj iaitu Nabi Muhammad, seekor haiwan bernama Buraq dan malaikat Jibrail AS.
Rasulullah SAW mewakili manusia yang dijadikan dari tanah dan dibekalkan akal dan nafsu, manakala Buraq pula mewakili binatang yang hanya dibekalkan nafsu tetapi mempunyai akal yang tidak sempurna sebagaimana manusia.
Jibrail AS pula adalah mewakili makhluk Allah yang dicipta daripada cahaya dan hanya memiliki akal sahaja.
Secara ringkasnya perlakuan makhluk-makhluk Allah itu adalah berdasarkan kepada apa yang ada kepada mereka iaitu akal dan nafsu. Akal adalah kemuncak kemuliaan pada setiap makhluk.
Akal yang diberikan oleh Allah jika digunakan dengan sebaiknya akan mendorong ke arah kebaikan dan kesejahteraan namun jika menggunakan hanya kepada pertimbangan akal semata-mata tidak boleh menjamin kebaikan dan kesejahteraan melainkan mesti dilandaskan berdasarkan kepada syariat Allah.
Hal ini adalah kerana kebaikan dan keburukan sesuatu perkara bukan mengikut pertimbangan akal semata-mata tetapi mestilah didasari oleh syariat dan peraturan Allah selaku pencipta dan pentadbir.
Oleh yang demikian, Allah telah mengutus para nabi dan rasul untuk memimpin manusia ke arah kebenaran.

Pertemuan
Dalam peristiwa Mikraj, ketiga-tiga makhluk Allah iaitu Rasulullah sendiri, malaikat Jibrail dan Buraq bergerak dari satu lapisan langit kepada satu lapisan langit sehingga sampai di suatu tempat dikenali sebagai Sidratul Muntaha.
Apabila tiba di Sidratul Muntaha, di situlah terhentinya perjalanan itu, lalu Jibrail berundur, maka Rasulullah bertanya kepadanya: "Apakah sampai di sini engkau harus meninggalkan aku? Jibrail menjawab: "Aku tidak boleh melangkah walau setapak pun melewati tempat ini."
Rasulullah sendiri bertemu dengan Allah di mana diriwayatkan bahawa jarak di antara Baginda dengan Allah hanyalah jarak anak panah atau dekat lagi. Firman Allah dalam surah al-Najm ayat kelapan dan sembilan iaitu: Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad SAW), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit sehingga jarak sekadar dua hujung busar panah atau lebih dekat lagi.
Maka terbuka segala tabir, terbukalah hijab, sehingga baginda melihat wajah Allah. Maka di situlah juga Rasulullah mendapat perintah mengejakan solat sebanyak 50 waktu solat sehari semalam.

Persimpangan
Rasulullah SAW seorang manusia yang sempurna dapat mengatasi ketinggian malaikat mahupun Buraq untuk bertemu Allah dan ini bererti akal waras yang dipandu syariat dapat mengawal nafsu menjadikan manusia mencapai kedudukan yang amat tinggi di sisinya.
Sebaliknya manusia yang diperkudakan oleh nafsu semata-mata tanpa pertimbangan akal yang dipandu syariat menjadikan manusia di kedudukan yang amat rendah dan hina di mata makhluk dan tiada nilai sedikitpun di sisi Allah.
Firman Allah dalam surah al-Tin ayat keempat dan keenam bermaksud: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikannya ke tempat yang serendah-rendahnya neraka, kecuali orang yang beriman dan beramal saleh maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.

Fitrah
Secara fitrahnya kita dapat merasai tentang nilai kemanusiaan dan kemuliaan akal. Manusia dalam keadaan mana sekalipun sentiasa meletakkan akal lebih tinggi daripada pinggang (nafsu).
Kita merasa amat tidak selesa apabila kita berbaring dalam keadaan yang condong bila mana kedudukan kepala ke bawah dari pinggang kita. Mengapa? Jawapannya kerana kedudukan tersebut telah meletakan kedudukan kemaluan (nafsu) lebih tinggi dari kepala (akal/otak).
Dalam kedudukan yang sama (berbaring) ditempat yang rata permukaannya sekalipun kita merasa tidak merasa selesa apatah lagi sebaliknya. Bila kita letak bantal sebagai alas kepala, baru kita rasa selesa. Kita berjalan, duduk, makan, minum, semua keadaan tetap meletakkan kepala di atas mengatasi punggung.
Binatang adalah makhluk yang ada akal tetapi tiada sempurna dan nafsu. Adanya nafsu untuk kelangsungan kehidupan di dunia. Akal tidak sempurna sebagaimana manusia, jin dan malaikat.
Manusia yang mahu bersujud di hadapan Allah adalah manusia yang paling mulia di sisinya. Ketika bersujud, manusia berada dalam keadaan yang paling rendah dan hina kerana sengaja meletakkan kepala lebih rendah daripada kemaluan.
Ia dilakukan semata-mata sebagai tanda kehambaan daripada seorang makhluk kepada khalik iaitu pencipta. Semasa di Padang Mahsyar nanti ketika Rasulullah memohon syafaat kepada Allah bagi memulakan perbicaraan terhadap umatnya dan umat-umat seluruhnya, baginda bersujud terlebih dahulu di hadapan Allah sehingga diperkenankan.
Oleh demikian, Allah memerintahkan kepada seluruh malaikat dan iblis untuk sujud kepada Adam. Semua sujud kecuali iblis. Mereka enggan dan takbur, maka jadilah mereka daripada kalangan orang-orang yang kafir.
Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah ayat 34: Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah (tunduklah dengan membongkokkan badan sebagai memberi penghormatan) kepada Nabi Adam: Lalu mereka sekalian sujud melainkan Iblis, ia enggan dan takbur serta ia menjadi sebahagian daripada golongan orang-orang yang kafir.
l Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)



© Utusan Melayu (M) Bhd 


Lokasi saksi Israk Mikraj


masjid aqsa menjadi saksi Israk Mikraj walaupun peristiwa itu telah berlaku hampir sekian lama, malah iktibarnya perlu diambil semua pihak bagi menghayati kisah yang terjadi di sebaliknya.

AYAT di atas mengingatkan kita kepada peristiwa agung yang terjadi kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW apabila baginda melakukan perjalanan jauh iaitu dari dunia ke langit pada satu malam.
Malah peristiwa menakjubkan itu cukup untuk menggambarkan kekuasaan Allah SWT kerana pada satu malam sahaja telah berlaku pelbagai peristiwa yang diperlihatkan kepada Rasulullah SAW untuk menjadi iktibar kepada seluruh umat Islam.
Peristiwa itu juga memperlihatkan bahawa umat Nabi Muhammad SAW diperintahkan untuk menunaikan solat lima waktu.
Pada malam tersebut, Rasulullah telah melakukan satu pengembaraan jauh melibatkan dua kota iaitu Mekah ke Baitulmaqdis yang terletak di Palestin. Kemudian dari tempat tersebut, baginda menuju ke langit yang dinamakan sebagai peristiwa Mikraj.
Dimulai langit pertama sehinggalah ke langit ke tujuh. Selepas itu, Nabi Muhammad naik ke Sidratul Muntaha lalu menuju ke suatu tempat yang dinamakan sebagai Mustawa.
Perjalanan dengan roh dan jasad itu berlaku dalam masa yang amat singkat sekali. Menurut jumhur ulama, peristiwa itu terjadi pada 27 Rejab, setahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah.
Kedua-dua kota itu merupakan saksi berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.
Walaupun kita umat Islam tidak melihat dengan mata sendiri, masing-masing perlu mengakui kebenaran tersebut dengan bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah seperti mana dirakamkan melalui ayat 1 surah al-Isra.
Oleh demikian, mari hayati tempat-tempat yang pernah menyaksikan malam bersejarah itu agar menjadi pedoman dan iktibar kepada umum.

1. Masjidil Haram

Masjid Haram terletak di kota suci Mekah yang kini menjadi kiblat umat Islam merupakan lokasi bermulanya peristiwa Israk dan Mikraj.
Mengikut riwayat Ibnu Abbas, kota Mekah terletak selaras dengan kedudukan Baitul Ma'mur di alam Malakut (alam ghaib). Manakala seorang seorang ahli sejarah Mekah, az-Azraqi telah menceritakan bahawa semasa Nabi Adam diperintahkan turun ke bumi, Allah telah mengarahkan baginda membina sebuah binaan seakan-akan Baitul Ma'mur.
Berkaitan perjalanan Israk Mikraj, sepanjang pengembaraan Rasulullah ke Masjid Aqsa dengan menaiki Buraq, baginda diiringi dua malaikat melawati tempat-tempat tertentu lalu diarahkan oleh Jibrail AS untuk berhenti menunaikan solat sunat dua rakaat iaitu Negeri Thaibah atau sekarang dikenali sebagai Madinah iaitu tempat Rasulullah melakukan hijrah.
Dua lagi tempat ialah di Bukit Tursina, Mesir iaitu tempat Nabi Musa menerima wahyu daripada Allah SWT dan Baitul Laham, Palestin yang merupakan tempat didakwa Nabi Isa dilahirkan.

2. Masjid al-Aqsa

Setibanya di Masjid al-Aqsa, Palestin, Rasulullah SAW turun daripada Buraq dan baginda kemudian masuk ke dalamnya lalu menunaikan solat sunat dua rakaat.
Menurut riwayat, Rasulullah terasa dahaga, lalu malaikat Jibrail membawa dua bekas berisi arak dan susu. Namun, Rasulullah memilih susu lalu meminumnya.
Sewaktu Rasulullah diangkat ke langit, sebuah batu besar ingin mengikuti baginda, namun 'hasrat' binaan itu tidak diizinkan lalu tergantung sehingga ke hari ini.
Berkenaan maksud masjid itu, Aqsa bermaksud paling jauh dan berkemungkinan diambil daripada kisah Israk dan Mikraj apabila baginda melintasi beberapa negeri dari Mekah sebelum tiba ke rumah ibadah tersebut.
Mengikut sejarah, masjid itu pada awalnya merupakan sebuah rumah ibadat kecil yang dibina oleh Khalifah Ar-Rasyidin kedua, Umar al-Khattab di kawasan seluas 25 hektar pada 638 Masihi.
Namun Masjid Aqsa dibina semula dan diperluaskan oleh Khalifah Abdul Malik Marwan dan disiapkan oleh anak lelakinya Walid pada 705 Masihi.
Beberapa kejadian gempa bumi telah memusnahkannya, namun dibina dan dibaiki semula. Pengubahsuaian juga telah dilakukan oleh khalifah yang memerintah ketika itu.


Perjalanan Israk dan Mikraj

pada peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW menunggang Buraq menuju Masjidil Aqsa di mana kemudiannya baginda mendirikan solat tahiyatul masjid dua rakaat.

BULAN Rejab selalu dikaitkan dengan peristiwa Israk dan Mikraj. Para ulama berbeza pendapat menentukan tarikh pasti terjadinya peristiwa tersebut. Imam Al-Nawawi sendiri memiliki dua pendapat yang berlainan. Dalam kitab al-Raudah, beliau menegaskan bahawa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab. Sementara dalam kitab Fatawanya, beliau mengatakan peristiwa itu berlaku pada 27 Rabiulawal. Israk dan Mikraj diriwayatkan dalam pelbagai hadis. Sebahagiannya sahih dan ada juga yang lemah.
Derdasarkan hadis-hadis sahih, peristiwa ini berlaku sebelum hijrah ke Madinah.

Malam itu, baginda berada di rumahnya di Mekah. Jibril AS dan dua orang malaikat lainnya membangunkan baginda. Mereka membawa Buraq, iaitu seekor haiwan yang lebih kecil daripada kuda, lebih besar daripada keldai. Satu langkahnya sejauh mata memandang.
Rasulullah SAW menunggangi Buraq menuju Masjidil Aqsa. Setibanya di masjid, baginda mengikatnya di pintu masjid. Seterusnya baginda masuk ke dalam masjid dan melakukan solat tahiyatul masjid dua rakaat.
Tidak lama kemudian, sebuah mikraj (tangga) di turunkan dari langit. Lalu baginda menaikinya dan terangkat ke langit pertama, kedua dan seterusnya hingga ke langit ketujuh. Di tiap-tiap langit, Rasulullah SAW berjumpa dengan nabi-nabi terdahulu. Antaranya: Adam, Yahya, Isa, Yusuf, Idris, Harun, Musa dan Ibrahim.

Adapun kisah yang mengatakan bahawa Nabi SAW menginjak batu Sakhrah pada masa itu, maka riwayat ini tidak sahih. Demikian penjelasan Syeikh Zahid al-Kauthari dalam Maqalat al-Kauthari.
Rasulullah terus terangkat hingga ke tempat yang sangat tinggi. Beliau diperlihatkan banyak sekali keajaiban dan tanda-tanda kebesaran Allah SWT.
Antaranya Sidratul Muntaha, sebuah pokok besar yang ditutupi oleh warna-warni yang sangat indah. Daun-daunnya sebesar telinga gajah dan buahnya seperti kendi Hajar.
Rasulullah turut diperlihatkan Baitul Makmur iaitu kiblat hamba Allah di langit sebagaimana Kaabah yang menjadi kiblat manusia di bumi. Setiap hari 70,000 malaikat masuk ke dalamnya dan tidak keluar lagi. Baginda juga diperlihatkan syurga dan neraka.

Kemuncak perjalanan itu, baginda mengadap Allah SWT. Para ulama berbeza pandangan adakah baginda melihat Allah pada saat itu atau tidak. Lalu Allah menurunkan kewajipan solat 50 waktu. Baginda menerimanya dengan patuh.
Apabila turun, baginda kembali berjumpa dengan Nabi Musa AS di langit kelima. Nabi Musa menyarankan agar baginda meminta keringanan bagi umatnya. Beliau khuatir umat Islam tidak akan mampu melaksanakan kewajipan itu.
Baginda setuju dengan saranan itu, lalu kembali kepada Allah untuk tujuan tersebut.
Setelah lima kali turun naik, Allah SWT mewajibkan solat hanya lima waktu sahaja.
Rasulullah SAW turun kembali ke Masjidil Aqsa, lalu menaiki Buraq ke Mekah. Beliau selamat tiba di rumah awal pagi sebelum matahari terbit.

Baitulmaqdis

Mungkin lahir soalan kenapa Baitulmaqdis menjadi destinasi Israk dan bukan tempat lain?
Baitulmaqdis adalah masjid kedua yang didirikan sebagai rumah ibadat menyembah Allah SWT. Yang pertama ialah Masjidil Haram di Mekah yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Masjid Al-Aqsa diasaskan oleh Nabi Yaakub, cucu Nabi Ibrahim. Selang masa antara pembinaan kedua-dua masjid ini adalah 40 tahun.

Abu Zar pernah bertanya kepada Nabi: "Wahai Rasulullah, masjid apa yang pertama kali dibina?" Baginda menjawab: "Masjidil Haram." Abu Zar bertanya lagi: "Lalu masjid apa?"
Rasulullah menjawab: "Al-Masjid al-Aqsa."

"Berapakah selang masa antara (pembinaan) kedua masjid ini?" tanya Abu Zar lagi.
Baginda menjawab: "Empat puluh tahun. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Simbolik

Israk dan Mikraj menyatukan dua masjid pertama di dunia. Kedua-duanya simbolik risalah tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu.
Kedatangan Rasulullah ke Baitulmaqdis menandakan bahawa Islam adalah lanjutan agama Ibrahim, Yakub, Musa, Isa dan seluruh nabi-nabi sebelumnya. Dan Muhammad adalah nabi terakhir yang menutup seluruh kenabian.
Berkata Ibnu Kathir dalam tafsirnya: "Baitulmaqdis adalah tempat asal nabi-nabi sejak Nabi Ibrahim.

"Itu sebabnya mereka lalu dikumpulkan di sana. Rasulullah SAW mengimami mereka di tempat mereka sendiri. Ini menunjukkan bahawa beliau adalah imam yang terbesar dan pemimpin yang dikedepankan."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...